home

search

Chapter 34 Karaoke

  HARI KETIGA PULUH EMPAT

  Keesokan harinya, seperti yang diminta, kami semua berkumpul di bilik muzik. Lili berdiri di hadapan sambil menepuk tangan, menarik perhatian kami.

  “Ada apa, Lili?” tanyaku sambil bersandar pada kerusi.

  Lili menarik nafas panjang sebelum bersuara dengan nada tegas, “Kita semua mesti siapkan lagu sebelum hari jadi pengetua tiba! Tinggal empat hari lagi!”

  Riko, seperti biasa, cuba memujuk Lili yang kelihatan agak gelisah. “Tenanglah, Lili. Saya percaya kita boleh buat. Tinggal empat hari lagi, kan? Tentu sempat!”

  “Ye lah tu!” balas Lili dengan nada sinis, jelas masih risau.

  Tiba-tiba, Alif bersuara, memecahkan kebuntuan. “Oh! Masa konsert hari tu, Kelab Komputer sempat merakam lagu Anis, dan mereka letakkan lagu tersebut ke dalam geset.” Alif mengeluarkan geset dari begnya dan menunjukkannya kepada kami.

  “Ini dia gesetnya.”

  Haikal yang berdiri di sisi meminta untuk melihatnya. “Boleh saya pegang?”

  “Nah!” jawab Alif sambil membaling geset itu ke arah Haikal.

  Namun, balingannya tersasar. Geset tersebut terlanggar sebuah pasu bunga di atas meja, menyebabkan pasu itu jatuh dan pecah.

  “Cantik balingan,” ejek Atifah sambil tersenyum sinis.

  “Diamlah!” tengking Alif, mukanya mula merah.

  Haikal mengutip geset itu dari lantai dan memeriksa keadaannya. Nampaknya, ia masih elok. Dia kemudian menyimpannya ke dalam poket bajunya.

  Riko, yang sudah terbiasa dengan kekalutan kumpulan ini, segera mengambil penyapu dan membersihkan serpihan kaca yang berselerakan di lantai. Sementara itu, Alif dan Atifah mula berbalas kata, masing-masing cuba menyalahkan satu sama lain.

  “Ala... Hal kecil pun nak gaduh ke?” tegur Haikal, cuba meredakan suasana.

  Haikal kemudian berdiri dan melangkah ke pintu, bersedia untuk pergi ke Kelab Komputer. “Saya nak mainkan lagu ni kejap dan tengok macam mana persembahan kita.”

  Atifah, yang jelas tidak mahu melepaskan peluang untuk menyindir, menjawab, “Kita? Sejak bila kau ada dalam kumpulan ni?”

  Haikal hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum kecil. Dia memegang tombol pintu untuk keluar, tetapi sebelum sempat dia membukanya, pintu itu tiba-tiba ditolak kuat dari luar.

  “Gedegang!”

  Pintu tersebut menghentam kepala Haikal, menyebabkan dia jatuh terlentang di atas lantai.

  “Aduh!” Haikal memegang kepalanya yang mula berdenyut.

  Atifah menahan ketawa sambil berkata, “Dasyat!”

  Lili yang berdiri di tepi hanya menggelengkan kepala. “Kamu semua ni... Bila nak serius?”

  Ketika keadaan mulai tenang selepas insiden pintu tadi, tiba-tiba suara ceria Husnah memecah suasana.

  “Maaf semua, saya terlambat!” katanya sambil menutup pintu.

  Dia melangkah ke depan, tetapi langkahnya terhenti apabila melihat Haikal yang masih terbaring di lantai.

  “Weh! Haikal! Kenapa kau tidur atas lantai? Hah!” tanya Husnah dengan nada separuh hairan, separuh mengejek.

  Haikal menggeliat malas sebelum menjawab, “Ini semua disebabkan kau lah!”

  “Ya ke?” balas Husnah dengan senyuman penuh sinis.

  Lili, yang sedari tadi memerhatikan mereka, menegur. “Hey, Husnah! Kami nak ucapkan terima kasih sebab awak sudi menolong kami ketika itu.”

  “Itu biasa saja,” jawab Husnah sambil menggosok belakang kepalanya dengan malu-malu.

  Namun, sebelum suasana bertukar mesra sepenuhnya, Haikal tiba-tiba bangun dan menengking, “Husnah! Kalau ada mata tu, tengok lah betul-betul! Sebab...”

  Haikal mula membebel panjang lebar, membicarakan tentang pintu, ketidaksengajaan, dan bagaimana segalanya berpunca daripada Husnah yang menolak pintu terlalu kuat.

  Kami semua hanya mampu berdiri terdiam, menahan ketawa sambil mendengar bebelannya. Selepas selesai, dia menghela nafas panjang sebelum berkata, “Aku nak pergi ke bilik Komputer!” Lalu dia melangkah keluar dengan gaya dramatik, masih dengan riak wajah tidak puas hati.

  Sebaik sahaja Haikal keluar, Alif mengangkat bahu dan bergumam, “Dia kecil, tapi membebel macam mak saya.”

  Kami semua ketawa kecil sebelum Lili memandang ke arah Husnah dan bertanya, “Jadi, kenapa awak datang ke sini, Husnah?”

  Husnah tersenyum lebar sebelum menjawab, “Oh, saya ada satu lagu yang saya nak tunjukkan kepada awak semua.”

  Dia membuka beg gitarnya dan mengeluarkan gitar yang kelihatan sudah lama digunakan tetapi masih terjaga rapi. Husnah memetik beberapa tali gitar untuk memastikannya selaras.

  “Memandangkan awak semua belum tahu lagu apa untuk dinyanyikan, saya harap awak semua akan gunakan lagu ni,” katanya penuh yakin.

  Kami semua memandangnya dengan minat. Lili memberi isyarat agar Husnah mula bermain, dan Husnah tersenyum sebelum memetik gitar untuk memainkan lagu itu. Suara lembut dan petikan gitarnya mengisi bilik muzik, mencipta suasana tenang yang membuat kami semua terdiam menikmati persembahannya.

  Husnah mula memetik gitarnya, menghasilkan melodi yang halus dan merdu. Tiada lirik yang keluar dari mulutnya, hanya alunan melodi yang menggambarkan cerita tersembunyi di sebalik bunyinya. Semua di dalam bilik diam, terpaku, menikmati setiap petikan gitar Husnah yang membawa suasana bilik muzik itu menjadi tenang dan damai.

  Apabila Husnah selesai, dia tersenyum kecil sambil memandang kami. “Jadi! Macam mana?” tanyanya, suaranya mengandungi sedikit rasa gementar.

  Sejurus itu, kami semua mula bertepuk tangan perlahan-lahan. Wajah Husnah menjadi merah, bingung dengan reaksi itu.

  “K... Kenapa?” tanya Husnah, sedikit malu.

  “Hebat,” kata Alif perlahan, nada suaranya penuh kekaguman.

  Lili, sebagai ketua kumpulan kami, memberi komen, “Baiklah, lagu tadi memang indah. Tapi kenapa awak masih belum letakkan lirik padanya?”

  Husnah tersentak dengan soalan itu dan menggosok belakang lehernya. “Kerana... saya simpan lirik itu untuk seseorang.”

  Kami semua terdiam seketika, sebelum serentak mengeluh kecil, “Huh...!”

  Husnah cepat-cepat melambaikan tangan, cuba menenangkan situasi. “Tak... Tak ada apa lah! Jangan fikir bukan-bukan!” katanya dengan nada bersahaja, tetapi wajahnya jelas menunjukkan dia menyembunyikan sesuatu.

  Lili tersenyum kecil, memutuskan untuk tidak memaksa Husnah mendedahkan lebih lanjut. Sebaliknya, dia bertepuk tangan perlahan, menarik perhatian semua orang kembali kepada lagu itu. “Baiklah, Husnah. Biar saya tolong awak letakkan lirik pada lagu tadi. Boleh?”

  Husnah memandang Lili, jelas terkejut dengan tawaran itu. Namun, senyuman di wajah Lili memberikan keyakinan padanya. Akhirnya, dia mengangguk perlahan. “Ya, dah tentu lah! Saya akan sangat hargai bantuan awak.”

  Lili tersenyum puas, lalu berkata, “Bagus! Kalau macam tu, kita ada asas untuk persembahan hari jadi pengetua nanti. Mari kita sama-sama pastikan persembahan ini sempurna!”

  Semua orang bersorak kecil, suasana kembali ceria dan penuh semangat. Kini, kami bukan sahaja berusaha untuk menyiapkan persembahan, tetapi juga untuk memastikan lagu istimewa Husnah akan menjadi sesuatu yang diingati.

  Selang beberapa waktu kemudian, aku melangkah keluar dari kelab muzik, berjalan perlahan di koridor yang sunyi. Aku memutuskan untuk tidak menyertai mereka. Aku tahu aku tak pandai bermain alat muzik, dan jika aku cuba, mungkin aku hanya akan menjadi beban kepada mereka.

  Empat hari saja lagi sebelum hari terasing tiba. Hari itu menghantui fikiranku. Apa yang bakal berlaku? Aku hanya mampu berharap Akademi Putra dan SCI, bersama pihak kerajaan, dapat menumpaskan ancaman itu.

  Si Joker dan gadis sadih. Peristiwa yang berlaku baru-baru ini terasa janggal. Kenapa tiada sesiapa yang menyedari keanehan itu? Aku perlu mendapatkan jawapan. Fikiran ini membawa aku kepada satu nama Justin. Aku perlu menanyakannya kepada dia.

  Langkahku menuju ke kelas 2A. Setibanya di sana, aku membuka pintu perlahan dan mengintai ke dalam. Kosong. Tiada seorang pun di sana. Aku mula mencari mereka di bilik Team Seven, di mana aku rasa mungkin mereka sedang melakukan sesuatu.

  Di pertengahan jalan, aku terpaku. Seseorang berdiri tegak di hadapan pintu Kelab Misteri. Tubuhnya tegap, wajahnya tenang tetapi penuh tanda tanya. Aku memberanikan diri untuk menegurnya.

  “Hey! Kenapa awak berdiri di depan pintu kelab ni?” tanyaku.

  Dia menoleh, matanya memandangku tajam. “Aku dengar kelab ni pernah jadi popular pada masanya,” katanya. Suaranya rendah, tetapi ada nada ingin tahu di situ.

  Aku mengangguk perlahan. “Jadi, apa yang membuatkan kelab ini dibubarkan?” tanyanya lagi.

  Aku menghela nafas, cuba menjawab dengan tenang. “Kelab ni sudah dibubarkan atas urusan penting.”

  Dia tersenyum kecil, tetapi senyumannya aneh. “Begitu. Jadi Kelab Misteri dibubarkan atas urusan... misteri? Tentu ia melibatkan sesuatu yang besar. Kematian, mungkin?”

  The tale has been illicitly lifted; should you spot it on Amazon, report the violation.

  Aku terkejut. Kata-katanya terasa seperti pisau yang menusuk tepat ke jantungku.

  “Kalau begitu,” dia meneruskan, “di mana ahli-ahlinya? Di mana mereka semua?”

  “Siapa maksud awak?” tanyaku perlahan.

  Dia menyebut nama-nama itu dengan jelas, seperti melodi yang menghantui. “Azmi, Anis, Amiliya, Anita, dan Atirah. Di mana mereka semua sekarang?”

  Darahku terasa membeku. Nama-nama itu bukan nama biasa. Dia tahu sesuatu.

  Aku cuba menenangkan diriku. “Aku hanya pelajar baru di sini. Sudah sebulan aku di Akademi Putra. Tentang perkara itu, aku tak tahu. Maaflah.”

  Dia menjeling tajam, jelas tidak puas dengan jawapanku. “Begitu,” katanya ringkas, sebelum berpaling dan berjalan pergi, meninggalkanku dengan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

  Aku memandang ke arah pintu Kelab Misteri, kini terasa lebih berat dengan rahsia yang tersembunyi di sebaliknya.

  Apabila malam tiba, aku kembali ke asrama untuk berehat. Aku membuka pintu bilik dan terus menjatuhkan diri ke atas katil, membiarkan rasa penat mengambil alih tubuhku. Tetapi, ketenangan itu tidak lama apabila telefon bimbitku berbunyi, menandakan pesanan masuk.

  Ia daripada Lili: "Hazrul, kami sedang berkaraoke sekarang. Awak tak nak sertai ke?"

  Aku menaip balasan ringkas: "Tak mau!"

  Lili tidak berputus asa: "Anis ada juga tau!"

  Aku menghela nafas, tidak tergugat: "Habis tu?"

  Kemudian, satu mesej lagi muncul: "Dia nak nyanyi bersama awak."

  Aku terdiam sebentar. "Pulak!" balasku, separuh hati.

  Namun, aku tahu aku tidak boleh terus mengelak. Akhirnya, aku bangun dari katil dan mula bersiap. "Baiklah, aku pergi," gumamku perlahan sambil mengambil jaket di sisi katil.

  Aku melangkah keluar dari asrama dan berlari menuju ke bandar, telefon di tanganku menjadi panduan. Aku mengintai skrin sambil berlari, memastikan aku tidak tersesat mencari pusat karaoke yang mereka sebutkan.

  Setibanya aku di tengah bandar, suasananya begitu memukau. Lampu-lampu neon yang terang bercahaya di sepanjang jalan, membuat malam terasa hidup. Orang ramai berlalu-lalang, dan aku terus memeriksa telefon bimbitku, mencari alamat pusat karaoke tersebut.

  Tidak lama kemudian, aku menemui lokasi itu, berhampiran tempatku berdiri. Aku memasukkan telefon ke dalam poket dan berjalan, mataku melilau mencari mereka.

  “Akhirnya,” bisikku perlahan apabila aku melihat kelibat mereka di hadapan pusat karaoke.

  Lili melambai sambil berseru, “Hye! Hazrul, kat sini lah!”

  Aku menyahut sambil tersenyum kecil, “Ya, saya datang lah ni!”

  Tanpa berlengah, aku mula berlari ke arah mereka, bersedia untuk malam yang mungkin lebih menarik daripada apa yang aku jangkakan.

  "Kenapa baru malam nak bagitau yang awak semua berada di karaoke? Hah!" tanya aku dengan nada sedikit bengang.

  Lili tersenyum malu dan menjawab, "Sebenarnya kami memang tak nak menyusahkan awak, tapi Anis tu!"

  "Kenapa?!" aku bertanya, rasa ingin tahu semakin memuncak.

  Riko, yang sudah bersedia dengan jawapan, mengajak aku untuk melihat apa yang sedang berlaku di dalam pusat karaoke itu. "Mari, tengok ni," katanya sambil membuka pintu dengan perlahan.

  Aku terkejut melihat apa yang berlaku. Di dalam, Anis sedang berduet dengan Pak Abu. Mereka sedang menyanyikan lagu yang liriknya... amatlah salah.

  Pak Abu, dengan penuh semangat, bernyanyi dengan suara yang kuat dan jelas. "Ku... Berharap agar kamu... Wowowo ooo," nyanyian Pak Abu begitu nyaring, penuh emosi.

  Namun, Anis kelihatan kelam-kabut. "Ber... ha... rap... aa... a... gar..." Suaranya tidak stabil, terkial-kial mencuba mengikuti lagu.

  Aku hanya mampu terdiam, memerhatikan mereka. Mereka seperti ayah dan anak bagi aku.

  Pak Abu menyedari Anis tidak dapat mengikut rentak lagu dengan lancar, lalu menegurnya, "Weh Anis, nyanyilah dengan penuh semangat sikit."

  Anis menggigit bibir, malu, dan menjawab, "Saya tak boleh!"

  "Kenapa? Kamu kekok ke?"

  "Tak! Sebenarnya, saya tak pernah dengar pun lagu ni," jawab Anis dengan nada yang penuh kejujuran.

  Pak Abu terkejut mendengarnya, lalu dia merenung Anis sejenak sebelum ketawa kecil. "Woongg, patutlah?" katanya sambil menggelengkan kepala.

  "Se sebenarnya ini lagu yang Pak Abu reka sendiri lah!" Pak Abu menambah dengan riang.

  "Apa?" Jerit Anis, terkejut dengan pengakuan Pak Abu.

  "Alaa... Tenang lah! Kenapa? Lagu ni menyampah sangat ke?" Pak Abu cuba menenangkan Anis.

  Anis hanya mengeluh panjang, "Amatlah menyampah!" jawabnya dengan tegas, tetapi aku dapat melihat sedikit senyuman terukir di wajahnya.

  Aku yang berada di luar pintu hanya dapat tersenyum melihat gelagat mereka. Ini pasti akan menjadi malam yang tidak akan dilupakan.

  Pak Abu, yang nampaknya agak suka bergurau, tiba-tiba bertanya kepada Anis, "Hey! Anis! Apa pendapat kamu tentang Hazrul?"

  Anis, yang pada mulanya agak terkejut, menjawab perlahan, "Dia?"

  "Ya lah! Apa perasaan kamu terhadap dia? Adakah kamu cemburu apabila dia berada dengan perempuan lain?" Pak Abu terus menggali soalan.

  Anis tersenyum sedikit, kemudian menjawab dengan tenang, "Tak! Perasaan saya terhadap dia... biasa-biasa aja. Kami cuma kawan. Tak lebih dan tak kurang."

  Aku yang sedang mendengar dari luar pintu terasa sedikit lega.

  Pak Abu tidak berputus asa. "Kamu ada tak siapa-siapa yang kamu suka?"

  Anis kelihatan sedikit ragu, tetapi akhirnya dia mengaku, "Tak! Sebenarnya... memang ada."

  Hatiku berdegup kencang. Aku benar-benar ingin tahu siapa yang dimaksudkan oleh Anis. Anis mula bercerita tentang seseorang.

  "Nama orang yang saya suka adalah rahsia. Masa saya kecil dulu, saya dan dia pernah melalui pengalaman cinta tiga segi. Banyak kekalutan yang berlaku pada masa tu. Sekarang ni saya tak tahu apa yang dia lakukan. Adakah dia masih hidup atau pun telah mati. Tapi saya nak sangat berjumpa dengan dia sekarang ni, dan bagitahu dia perasaan saya yang sebenar."

  Pak Abu mendengarnya dengan penuh perhatian dan bertanya, "Kenapa kamu suka pada dia?"

  Anis tersenyum kenangan. "Saya suka pada dia sebab perangai dia, perangai yang tak kenal erti putus asa."

  Pak Abu mengangguk, lalu berkata, "Hazrul pun sama juga."

  Anis tiba-tiba mengalihkan pandangannya ke arah Pak Abu, seolah-olah terkejut dengan pernyataan itu. Pak Abu terus bercerita.

  "Sebenarnya, Hazrul dikira hebat juga. Itu pun kalau dia tahu kemampuannya sendiri. Hey! Kamu tak nak ke kat dia?"

  Anis menjawab dengan cepat, "Tak nak!"

  Aku terkejut mendengarnya. "Kenapa?" Pak Abu bertanya, jelas penasaran.

  Anis menghela nafas, dan terus menceritakan lebih lanjut, "Perasaan saya terhadap orang itu lebih dalam berbanding dengan orang lain. Ia tidak mudah untuk dilupakan. Dan lagi satu..." Anis berhenti sejenak, dan aku dapat merasakan ketegangan di udara.

  Anis akhirnya berkata, "Hazrul tu bebal orangnya."

  "Ngekkk..." aku hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata itu. Walaupun aku merasa agak tercabar, aku tahu ini adalah cara Anis untuk menyatakan ketidakpuasannya terhadap beberapa perkara.

  Pak Abu tertawa kecil, dan aku hanya tersenyum kaku. Sesuatu yang serius baru saja terungkap dalam percakapan mereka, dan aku merasa sedikit lebih mengenali Anis sekarang.

  "Kenapa ni Hazrul?" tanya Riko dengan nada ingin tahu, melihat aku yang tampak sedikit terganggu.

  "Tak, tak ada apa," jawabku, cuba untuk menyembunyikan perasaan aku.

  "Saya nak pergi beli makanan kejap," tambah Riko sebelum pergi meninggalkan aku di situ. Aku terus mengintai mereka dari luar.

  "Kenapa kamu kata Hazrul bebal?" Pak Abu bertanya, matanya tertumpu pada Anis dengan penuh minat.

  Anis tersenyum, seolah-olah sudah lama ingin meluahkan perkara ini. "Bebal sebab dia selalu terlepas pandang sesuatu. Dan itu lah yang menyebabkan kami dalam bahaya. Dia berjaya lulus pun kerana adanya Kai. Dan lagi satu... dia pernah pecah masuk asrama perempuan tau!"

  "Oh, ye ke! Jahatnya," balas Pak Abu dengan ekspresi terkejut yang dibuat-buat, kelihatan seperti sedang memperbesarkan cerita ini.

  Mereka terus mengumpat tentangku, dan aku semakin tidak selesa mendengarnya. "Ya, ada satu malam tu kan, dia pecah masuk ke dalam bilik saya bersama Azmi."

  Pak Abu mengangguk-anggukkan kepalanya, jelas tertarik dengan cerita itu. "Ha' ha', lagi, lagi."

  "Oh, dia juga pernah buat perkara yang tak senonoh di dalam bilik saya."

  "Apa dia?" tanya Pak Abu, semakin ingin tahu.

  "Melihat pakaian perempuan," bisik Anis, matanya memandang ke bawah dengan rasa malu.

  "Apaaaaa!!!" Jerit Pak Abu dengan nada yang agak berlebihan, seolah-olah terkejut.

  Aku terkedu seketika, fikiranku mula berserabut. 'Ni dah mula naik pelik dah ni. Sejak bila pulak aku tengok pakaian perempuan? Mungkin...' Aku mula terfikir tentang Amani. 'Alamak! Aku harap Anis tak ceritakan pada Pak Abu tentang aku yang berpakaian perempuan.' Aku mula gelisah, sambil menatap mereka dari luar.

  "Itu tak apa lagi. Ada lagi yang teruk."

  "Ada lagi?" Pak Abu semakin teruja, tak sabar untuk mendengar cerita seterusnya.

  "Dia pernah berpakaian perempuan dan berasmara bersama Shafikah."

  Pak Abu nampak semakin bersemangat, malah matanya mula bersinar dengan rasa terkejut dan ketawa sinis.

  Ketika mereka sedang sibuk mengumpat, secara tiba-tiba lagu dari pusat karaoke yang berdekatan kedengaran dengan sangat kuat, menyebabkan kami terkejut. Aku, yang sedang dalam keadaan cemas, tidak sengaja membuka pintu dengan agak luas. Mereka yang sedang berbual mula perasan akan kehadiranku.

  Aku terdiam, dan terus merendahkan kepala, tidak tahu apa lagi yang patut aku katakan. Aku kemudian menegur mereka, walaupun agak terkejut dengan perbualan yang baru sahaja aku dengar.

  "Yo!" Tegur aku, cuba untuk mengawal keadaan.

  Namun, mereka hanya tersenyum sinis, sudah mengetahui kehadiranku sejak tadi. Aku berdiri di sana, rasa malu dan terperangkap dalam situasi yang semakin pelik.

  Pak Abu memandangku tajam, lalu bertanya, "Kamu dengar tak apa yang kami cakapkan tadi?" Aku cuba menutupinya dengan alasan palsu. "Eehh! Dengar apa, saya baru je datang ke sini. Mana ada dengar apa-apa pun."

  Aku cuba menipu dengan sebaik mungkin, tetapi aku dapat merasakan mereka sudah tahu yang aku sebenarnya mendengar segala yang mereka bicarakan. Riko yang baru saja membeli makanan muncul di hadapan kami.

  "Hey! Semua, saya ada belikan makanan," jerit Riko, sambil berjalan menuju ke arah kami. Dia berhenti dan bertanya, "Eerr! Apa yang berlaku sekarang?"

  Kami menikmati makanan di luar pusat karaoke. Setelah selesai makan, Anis dan Pak Abu kembali menyambung kerja mereka.

  Sambil makan, aku bertanya kepada Riko, "Hey, Riko! Mana yang lain?"

  Riko menjawab sambil membuka penutup botol. "Balik rumah."

  "Kenapa?" tanyaku sambil melihat dia minum.

  Riko meneguk minumannya dan menyambung, "Kerana mereka mengantuk. Mereka malas nak melayan Anis, jadi mereka suruh kekasihnya untuk tolong jagakan."

  "Tapi saya bukan kekasihnya," jawabku, merasakan ada yang tak kena dengan pernyataan itu.

  Riko membuka supir plastik dan aku melihatnya dengan sedikit curiga. Aku bertanya lagi, "Awak tak mengantuk ke?"

  "Tak!" jawabnya sambil memakan roti. Dia meneruskan kata-katanya, "Lagi pun, saya kena pastikan yang awak buat tak ada yang pelik-pelik waktu pulang nanti."

  "Saya bukan jenis lelaki yang awak fikirkan lah!" jawabku, agak tersinggung.

  Riko terus memakan rotinya, tetapi aku perasan dia seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang lain. Setelah beberapa saat, dia bertanya dengan nada yang lebih serius, "Hazrul, seronok ke kalau ada kekasih?"

  Aku memandangnya, agak terkejut dengan pertanyaan itu. Matanya kelihatan sedikit bersinar, seolah-olah dia menggunakan pewarna mata. Dia meneruskan, "Saya pernah lihat orang bercinta depan mata saya. Saya teringin sangat nak tahu, apa perasaan mereka. Apa yang mereka rasakan."

  Riko nampaknya teringin untuk merasai cinta. Dia menatapku dan bertanya lagi, "Hazrul, awak pernah jatuh cinta pada siapa-siapa tak? Jika ada, jujur lah."

  Aku mengeluh dalam hati, tetapi tetap menjawab dengan jujur, "Tak! Saya tidak pernah alami perasaan itu."

  "Begitu," bisik dia perlahan, seolah-olah terkejut dengan jawabanku.

  Kemudian, dia bertanya lagi, "Ciri-ciri wanita yang macam mana awak suka?"

  Aku terdiam sejenak, berfikir sejenak, kemudian menjawab, "Saya tak tahu lah... Ahh! Kalau boleh, saya nak yang setia. Tak curang. Selalu memerhatikan dan menjaga saya. Dia juga pandai melawak dan menjadi penghibur saat saya sedih. Dan dia takkan mudah mengalah dengan segala kesedihan yang dia hadapi... Tentu seronok kalau kita jumpa dengan yang kita minta, kan?"

  Riko mendiamkan diri sejenak, dan aku terasa ada sesuatu yang berat di hatinya. Dia kelihatan terfikir-fikir, dan aku mula rasa seperti Riko pernah melalui masa silam yang teruk, mungkin berkaitan dengan cinta yang tidak kesampaian. Aku menatapnya, cuba memahami perasaannya. Namun, dia hanya memandang jauh ke arah luar, seolah-olah terperangkap dalam kenangan silam yang tidak dapat dilupakan.

  Anis datang dari belakang dan mengejutkan aku dengan suara yang kuat, "Gaaa!!!"

  Aku menoleh ke belakang, sedikit terkejut, dan berkata, "Ohh, awak Anis. Macam mana, awak sudah puas ke?"

  "Awak tidak terkejut ke?" tanya Anis, masih dengan senyum nakalnya.

  "Ada lah sikit. Mana pak Abu?" balasku.

  Anis ketawa sedikit dan menjelaskan apa yang berlaku. "Dia? Hahaha, masa dia nyanyi lagu tadi, tiba-tiba keluar gambar hantu dari skrin. Dia terkejut dan terus menumbuk skrin tu. Sekarang ni dia tengah berurusan dengan pengurus karaoke ni."

  Aku terkejut mendengarnya, tapi Anis hanya ketawa kecil, kelihatan santai dengan kejadian itu.

  "Jom pulang!" ajak Anis, sambil melangkah ke pintu.

  "Baiklah!" jawabku. Kami berdua bangun dan mula berjalan menuju keluar. Aku sempat menoleh ke belakang dan melihat Riko masih berada di tempat yang sama.

  "Hey! Riko, jom kita pulang!" jeritku.

  Riko sepertinya tidak mendengar teguranku. Aku cuba lagi, lebih kuat kali ini.

  "Riko... Jom... pulang!"

  Baru kali ini dia mendengarnya. Riko menoleh ke arahku dan membalas, "Ya, baiklah! Saya datang!"

  Dia berlari mendekati kami dan akhirnya menyertai kami dalam langkah pulang.

  Sambil berjalan pulang, aku bertanya kepada Anis, "Anis, tak apa ke kita tinggalkan Pak Abu berseorangan di sana?"

  Anis menjawabnya dengan tenang, "Tak apa! Saya dah minta izin darinya. Kita boleh pulang dan biarkan dia selesaikan masalahnya."

  Kami bertiga terus berjalan pulang, menyusuri jalan yang diterangi oleh cahaya bintang-bintang yang bersinar terang di langit malam. Suasana terasa damai, seolah-olah semuanya kembali normal setelah kekacauan tadi. Kami menuju Akademi Putra, sambil bercakap dan tertawa sesama sendiri, meninggalkan kejadian tadi di belakang.

  Tinggal 4 Hari Lagi.

Recommended Popular Novels