Hari Kesembilan Belas
Langkahku membawa aku ke padang sekolah yang sunyi malam itu. Fikiran tentang Kai dan amaran si bertopeng terus menghantui benakku. Dalam kekosongan malam, aku tak mampu lagi menahan diri. Aku menjerit ke arah kegelapan.
"Hey, sang bertopeng! Di mana kau? Apa sebenarnya yang kau nak, hah? Jawablah!"
Tiada suara kecuali gema suaraku yang memantul. Tapi tidak lama, bayang seseorang muncul dari sisi gelap padang. Dia berdiri tegak, topeng putihnya bersinar di bawah cahaya bulan.
"Kau jangan bising boleh tak? Orang nak tidur ni," katanya, nada santainya membuat darahku mendidih.
Tanpa berfikir panjang, aku meluru ke arahnya. Aku tak tahu apa yang mendorongku—mungkin marah, mungkin rasa ingin tahu. Aku cuba merampas topengnya, tetapi seperti dia sudah dapat membaca setiap gerakanku.
Dengan mudah dia mengelak, langkahnya ringan seperti angin. "Hey, apa yang kau buat ni? Kau ingat kau boleh tangkap aku?" katanya sambil mengelak seranganku yang seterusnya.
Keletihan mulai mengambil alih tubuhku. Aku terjatuh ke tanah, terengah-engah. Dia berdiri beberapa langkah di depanku, menatapku dengan pandangan penuh ejekan di balik topengnya.
"Sudah puas ke mencuba? Kalau nak cuba lagi, silakanlah," katanya, nadanya menghina.
Aku bangkit dengan sisa tenaga yang ada. "Sebenarnya kau ni siapa? Apa tujuan kau sebenarnya?" tanyaku sambil berdiri tegak.
Dia menepuk-nepuk bahu, seolah-olah membersihkan debu yang tidak wujud. "Aku? Aku cuma orang biasa yang berminat dalam perkara misteri. Itu saja. Tadaa!"
Kata-katanya seperti menyindir, membuatkan aku semakin geram. "Kau memang suka bergurau, kan? Cepat bagitahu aku tujuan sebenar kau dan kenapa kau menjaga Anis!"
Nada suaraku yang tegas membuatkan dia berhenti berseloroh. Dia mendekatiku, langkahnya perlahan. "Baiklah. Aku ialah Sang Penjaga Malam. Tujuan aku adalah untuk memastikan Beg NPV itu tidak jatuh ke tangan yang salah. Beg itu sekarang berada di dalam Blok 7. Nampak tu?" Dia menunjuk ke arah bangunan yang suram di hujung padang.
Aku mengalihkan pandangan ke arah Blok 7. "Ya, aku tahu tempat itu. Tapi kenapa kau peduli pada Anis?"
Wajahnya—atau topengnya—tampak serius untuk pertama kali malam itu. "Anis sangat berharga bagiku. Kau tak perlu tahu lebih daripada itu."
Dia mula melangkah pergi, tetapi sebelum dia menghilang, dia menoleh semula. "Jangan risau, aku di pihak kau. Kalau si penjubah itu menyerang kau, aku akan datang menolong."
Dan dengan itu, dia hilang ke dalam kegelapan, seperti bayang yang lenyap ditelan malam.
Aku berdiri di situ, hanya ditemani cahaya bulan yang bersinar lembut. Banyak persoalan masih berlegar di fikiran—si penjubah, Beg NPV, dan siapa sebenarnya Si Bertopeng. Tapi satu perkara pasti: malam ini bukanlah malam yang akan aku lupakan.
Pagi itu, kelas terasa kosong tanpa kehadiran Kai. Suasana penuh kerisauan; pelajar lain mulai bertanya-tanya apa yang sebenarnya terjadi padanya. Fikiran aku masih terganggu oleh pertemuan dengan sang bertopeng malam tadi. Bagaimana dia tahu tentang Raimundor? Dan lebih penting lagi, siapa sebenarnya Raimundor?
Selepas tamat waktu pembelajaran, aku berjalan santai di kawasan taman sekolah. Suasana di situ lebih tenang, seolah-olah memberi ruang untuk aku berfikir. Tiba-tiba, Max muncul dari arah belakang dan menegurku.
"Ada apa, Max?" tanyaku, sedikit terkejut.
Tanpa menjawab, dia memegang tanganku dan menarikku pergi ke suatu tempat. "Ikut aku. Aku nak tunjuk sesuatu," katanya dengan nada misteri.
Kami sampai di sebuah bilik yang aku tidak pernah lihat sebelumnya. Max membuka pintu, dan cahaya dari dalam menyilaukan mataku. Aku melangkah masuk perlahan-lahan, rasa ingin tahu semakin membara.
Di dalam, aku melihat pelajar-pelajar dari kelas 2A sedang berkumpul. Aku tergamam melihat mereka, tidak menyangka Max akan membawa aku berjumpa dengan sekumpulan pelajar yang terkenal di sekolah ini.
Max tersenyum lebar. "Seperti yang aku cakap hari tu, aku nak kenalkan kau dengan ahli kelas aku."
Dia memulakan perkenalan.
"Ini ialah Natsumi."
Namun, sebelum sempat Max meneruskan, Natsumi mencelah. "Max, kami dah kenal Hazrul ni," katanya sambil ketawa kecil.
Max menggaru kepala. "Oh, betul ke? Baiklah, aku teruskan je."
Dia menunjuk ke arah seorang pelajar lelaki berambut pendek. "Ini pula Ryen."
Ryen melambai mesra. "Hi!"
Di sebelahnya, seorang pelajar lain bersandar pada meja. "Dan ini Jojo," kata Max.
Jojo mengangkat bahu dan berkata, "Apa-apa je lah, kawan."
Seorang pelajar perempuan berdiri sambil tersenyum. "Yang ni pula Miya," sambung Max.
Miya membalas dengan suara lembut, "Selamat berkenalan."
"Seterusnya, ini Roger," kata Max sambil menunjuk ke arah pelajar yang duduk di tepi tingkap.
Roger memandangku dengan mata tajam. "Jadi, kau lah Hazrul ya," katanya, menilai aku.
Max menunjuk ke seorang pelajar perempuan yang berdiri di tengah bilik. "Dan ini ketua kami, Ros."
Ros menghulurkan tangan untuk bersalaman. "Hi, Hazrul," katanya dengan nada penuh keyakinan.
Tiba-tiba, seorang lagi pelajar masuk ke bilik. Dia kelihatan terkejut melihatku di situ. "Apa yang berlaku ni? Oh, kau pun ada juga, Hazrul," katanya.
Max tersenyum. "Oh, dan ini ialah Justin."
Saat itu, seorang lagi pelajar muncul di pintu dengan langkah penuh gaya. "Woi, kau lupa aku ke, Max?" katanya sambil menjeling.
Max ketawa kecil. "Maaf, aku lupa. Ini ialah Renjuu."
Ros, sebagai ketua, melangkah ke depan dan bersuara dengan lantang. "Baiklah, Hazrul. Kami semua adalah sebahagian daripada kumpulan yang dipanggil..."
Semua pelajar berdiri bersama, dan dengan serentak mereka berkata, "Team Seven!"
Aku terkebil-kebil memandang mereka semua, cuba memahami situasi ini. Ada sesuatu tentang Team Seven yang membuatkan aku rasa mereka bukan sekadar pelajar biasa. Tapi apa rahsia mereka?
Aku tersenyum kecil. "Team Seven, ya? Nampaknya aku ada banyak lagi yang perlu aku tahu."
Aku memandang mereka satu per satu, masih kagum melihat kumpulan ini yang dikenali sebagai Team Seven. Rasa teruja memenuhi diriku, tetapi aku cuba untuk bersikap tenang.
“Jadi ini semua ahli kelas kau?” tanyaku kepada Max.
Dia mengangguk perlahan. “Ya.”
Aku tersenyum, berusaha menyembunyikan kegugupanku. “Hi, semua! Aku Hazrul, seorang pelari yang pantas. Selamat berkenalan! Aku pernah terbaca kisah awak semua, jadi aku sangat teruja dapat bertemu dengan kamu semua secara langsung.”
Di sudut bilik, Renjuu membisikkan sesuatu kepada Max. “Kawan kau ke ni?”
Max ketawa kecil, tetapi aku memutuskan untuk tidak pedulikan soalan itu. Sebaliknya, mataku memerhati satu per satu ahli Team Seven, mencuba memahami dinamika antara mereka.
Selepas memperkenalkan diri, satu soalan bermain dalam fikiranku. Aku memberanikan diri untuk bertanya. “Bukan ke dalam buku sejarah ada menyebut tentang tujuh pahlawan? Siapa sebenarnya pahlawan-pahlawan itu?”
The story has been illicitly taken; should you find it on Amazon, report the infringement.
Ros mendongak dengan ekspresi serius. “Tujuh pahlawan itu telah tiada.”
Semua orang di dalam bilik tiba-tiba terdiam, suasana berubah suram. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang berat tentang topik ini yang mereka enggan bincangkan.
Tiba-tiba, Miya berdiri dan memecah kesunyian. “Aku nak pergi ke tempat lain sekejap,” katanya, lalu melangkah keluar tanpa menunggu jawapan.
Max kemudian menoleh kepadaku. “Hazrul, sebenarnya tujuan aku memperkenalkan kau kepada mereka adalah untuk mengajak kau bergabung dengan kami.”
Aku terkejut. “Bergabung? Dengan Team Seven?”
Max mengangguk sambil tersenyum. “Ya. Sebelum Hari Terasing itu tiba, kau perlu memperkuatkan diri kau dahulu.”
Aku memandangnya dengan penuh tanda tanya. “Hari Terasing?”
Dia tidak menjelaskan lebih lanjut. Sebaliknya, dia berkata dengan nada tegas, “Esok kau akan mulakan latihan.”
“Latihan?”
Max mengangguk lagi. “Ya. Latihan bertempur. Kau perlu bersedia.”
Dia kemudian beredar dari bilik, meninggalkan aku dengan seribu persoalan. Aku mula berkeliling bilik itu, memerhatikan persekitarannya dengan lebih dekat. Di dinding, terdapat beberapa keping gambar yang menarik perhatianku.
Aku mendekati gambar-gambar itu. Setiap satu menunjukkan wajah ahli Team Seven dalam situasi yang berbeza—latihan, pertempuran, dan beberapa gambar candid yang menunjukkan ikatan persahabatan mereka.
Namun, aku perasan sesuatu yang aneh. Jumlah mereka dalam beberapa gambar lebih ramai daripada yang diperkenalkan tadi. Aku menghitung dalam hati.
“Nampaknya mereka tak kenalkan aku kepada semua ahli mereka,” gumamku. “Masih ada tiga orang lagi yang tak muncul.”
Aku menatap gambar itu lebih lama, rasa ingin tahu semakin menebal. Apa hubungan tiga orang ini dengan tujuh pahlawan? Dan kenapa Team Seven seperti menyembunyikan sesuatu?
Aku tahu, jawapannya akan datang—tapi tidak hari ini. Untuk sekarang, aku perlu bersedia menghadapi latihan esok. Apa pun bentuknya, aku sudah bertekad untuk membuktikan diriku layak berada di sini.
Ketika aku memerhatikan gambar itu, seseorang berjalan di belakangku. Langkahnya perlahan tapi cukup untuk aku sedari. Justin muncul dari bayang-bayang, menyapa dengan nada santai.
“Kenapa kau pandang gambar-gambar itu?” tanyanya sambil menyilangkan tangan.
Aku tersenyum, menunjuk ke arah gambar di dinding. “Gambar yang cantik. Tapi, siapa mereka bertiga ini?” soalku, menunjuk kepada wajah-wajah yang tidak aku kenali dalam kumpulan tersebut.
Justin mendekati gambar itu, matanya sedikit redup. “Mereka bertiga itu?” Dia menghela nafas perlahan. “Tak ada apa-apa, cuma kawan-kawan lama kami.”
Aku memandangnya dengan rasa ingin tahu yang mendalam. “Dimana mereka sekarang? Kenapa mereka tidak bersama dengan kamu semua?” tanyaku lagi sambil cuba membaca ekspresi wajahnya.
Justin menoleh dengan tajam, suaranya berubah lebih serius. “Dimana mereka? Mereka sekarang berada di tempat masing-masing. Itu saja yang kau perlu tahu. Jangan tanya lebih lanjut.”
Aku mengangkat kening, terkejut dengan nada tegasnya. “Kenapa? Apa yang berlaku pada mereka?”
Justin segera memotong. “Sudah, tak perlu tahu tentang mereka. Yang penting sekarang, kau harus fokus untuk belajar cara berlawan. Hari Terasing semakin dekat.”
Aku merasakan ada sesuatu yang cuba dia sembunyikan, tetapi tidak mahu menekan lebih jauh. Aku hanya mengangguk perlahan dan beredar dari situ.
Ketika berjalan di kawasan sekeliling, aku terjumpa Max dan Ryen di satu sudut bilik. Mereka kelihatan sibuk membongkar komponen sebuah komputer. Max sedang memasang sesuatu pada motherboard, manakala Ryen mengutak-atik kabel di sisi CPU.
Max menyedari kehadiranku dan segera menyapa. “Hazrul! Macam mana dengan keadaan Kai? Dah jumpa dia?”
Aku mengangguk, walaupun ragu-ragu dengan apa yang harus aku sampaikan. “Aku dah jumpa dia semalam,” jawabku.
Max berhenti seketika dari pekerjaannya, memandangku dengan wajah serius. “Jadi, apa masalahnya? Kenapa dia tak datang kelas?”
Aku menarik nafas sebelum menceritakan segalanya. “Kai kata dia tak hadir sebab... ada seseorang yang datang beri amaran padanya. Orang itu—sang bertopeng—kata Kai sedang diburu oleh seseorang yang dia panggil si penjubah.”
Ryen menghentikan kerjanya dan menoleh. “Si penjubah?”
Max mengerutkan dahi. “Amaran dari sang bertopeng, ya? Dia memang suka muncul tiba-tiba dengan misteri-misterinya.”
Aku mengangguk. “Aku pun tak pasti apa motif dia. Tapi Kai kelihatan benar-benar risau.”
Max dan Ryen saling berpandangan, seolah-olah memahami sesuatu yang aku tidak tahu. Max kemudian berkata, “Kalau begitu, kita kena pantau Kai dari jauh. Mungkin dia dalam bahaya lebih besar daripada yang kita sangka.”
Aku mengangguk perlahan, tapi persoalan tentang si penjubah, sang bertopeng, dan kini tiga wajah misteri di dalam gambar itu terus bermain di fikiranku. Ada banyak yang perlu aku fahami tentang Team Seven dan rahsia di sekeliling mereka.
“Jadi, Kai mengurung dirinya dalam bilik kerana si penjubah cuba membunuhnya?” kata Max sambil terus memegang alat di tangannya. Matanya tidak lepas dari papan litar komputer yang sedang diubahsuainya.
“Ya, dan mesej itu disampaikan oleh Sang Bertopeng,” jawabku, berdiri tegak sambil memerhati kerja-kerja Max dan Ryen.
Max tersenyum kecil, seolah-olah teringat sesuatu. “Dia masih ada, ya? Aku ingat kami dah halang dia dulu. Sang Bertopeng tu memang degil, kan?”
Aku mengangguk perlahan. “Betul. Tapi dia ada satu pesan penting untuk kita. Dia kata, jika si penjubah itu menyerang lagi, dia akan datang menolong kita.”
Max berhenti seketika dari kerjanya, memandang aku dengan penuh tumpuan. “Jadi, Sang Bertopeng di pihak kita? Menarik. Kalau betul begitu, kita patut cuba ajak dia bergabung dengan kita. Itu pun kalau dia mahu.”
Aku hanya mengangkat bahu. “Mungkin dia ada agenda sendiri. Dia nampaknya tak suka terikat dengan sesiapa.”
Max menghela nafas panjang sebelum menyambung. “Baiklah, Hazrul, aku perlukan kau untuk satu tugas penting. Bila komputer ini siap, aku mahu kau berikan kepada Kai. Pastikan dia memeriksa rakaman yang tergendala itu. Ia mungkin ada maklumat tentang si penjubah.”
Aku mengangguk, memahami sepenuhnya arahan itu. “Baik, Max. Aku akan pastikan Kai menerimanya. Rakaman itu mungkin kunci untuk kita memahami ancaman sebenar.”
Max tersenyum kecil, kembali fokus kepada komputernya, manakala Ryen menambahkan beberapa sentuhan terakhir. Aku hanya berdiri di sana, memikirkan apa sebenarnya yang tersembunyi di sebalik rakaman tersebut—dan bagaimana kaitannya dengan Sang Bertopeng, si penjubah, dan misteri yang mengelilingi kami semua.
Setelah keluar dari bilik mereka, aku berjalan sendirian di taman, menikmati angin sejuk pagi itu. Namun, suasana tenang itu tiba-tiba terganggu apabila Anita datang tergesa-gesa ke arahku.
“Hazrul! Cepat ikut saya! Ahli kelab yang lain sedang menunggu,” katanya dengan nada mendesak.
Aku terpinga-pinga, bingung dengan situasi ini. “Kenapa? Apa yang berlaku?” tanyaku, cuba mendapatkan penjelasan, namun Anita hanya menggeleng dan terus menarik lenganku.
Setibanya di hadapan bilik kelab, Anita membuka pintu. Aku melangkah masuk dengan perasaan ingin tahu. Di dalam, aku melihat Azmi, Amiliya, dan Anis sedang berkumpul, masing-masing dengan wajah serius.
“Kenapa memanggil aku ke sini?” soalku, masih keliru.
Azmi memandangku dengan mata penuh tekad. “Sebenarnya, kami mahu mengajak kau melawat Atirah. Adakah kau berminat untuk ikut bersama?”
Aku terdiam sejenak. Sebelum sempat aku memberi jawapan, Amiliya bersuara. “Kita juga akan teruskan menyiasat misteri yang belum selesai.”
Aku memandang mereka semua dan bertanya, “Bukankah Kelab Misteri sudah dibubarkan?”
Azmi menjawab dengan nada tenang tetapi penuh keyakinan. “Memang, kelabnya dibubarkan, tetapi ahlinya tidak. Kita masih ada tanggungjawab untuk menyelesaikan semua persoalan yang tertinggal.”
Aku masih ragu-ragu, tetapi Amiliya segera mencelah. “Ada dua perkara utama yang kita perlu siasat—siapa si penjubah kedua dan kenapa markas yang menjalankan uji kaji itu diserang makhluk ganas.”
Dia kemudian menunjukkan beberapa barang di tangannya—dokumen, catatan lama, dan objek kecil yang tidak kukenali. “Semua benda ini kami temui dalam peralatan milik Atirah. Ia adalah bukti yang kami jumpa di kampung halamannya. Sebab itu, kami mahu melawat kuburnya. Mungkin ada petunjuk lain di sana.”
Aku memandang barang-barang itu dengan penuh perhatian. Segalanya terasa misteri, dan perasaanku bercampur-baur—antara rasa takut, ingin tahu, dan rasa tanggungjawab untuk membantu mereka. Akhirnya, aku mengangguk.
“Baiklah, aku akan ikut. Kita selesaikan misteri ini bersama-sama.”
Petang itu, aku termenung di bilik, memikirkan semua yang sedang berlaku. Misteri demi misteri semakin bertambah, membuatkan kepalaku serasa mahu pecah. Kelab Misteri kini bertekad untuk menyiasat siapa sebenarnya si penjubah kedua dan apa yang menyebabkan markas yang menjalankan ujian DNA diserang oleh makhluk buas.
Dalam masa yang sama, Team Seven pula sedang bersiap sedia menghadapi Hari Terasing, hari yang kelihatan semakin menghampiri. Tidak ketinggalan, satu lagi persoalan yang bermain di fikiranku: Siapa sebenarnya Sang Bertopeng? Dan kenapa si penjubah itu begitu beria-ia mahu membunuh Kai?
Dengan fikiran yang penuh dengan persoalan, aku keluar dari bilik kelab selepas berbincang dengan Azmi dan ahli Kelab Misteri yang lain. Aku terus mencari Max. Apabila menemuinya, aku segera memaklumkan keputusan aku.
“Max, aku terpaksa tangguhkan pembelajaran aku esok. Aku mahu ikut Kelab Misteri melawat Atirah di kampung halamannya.”
Max menoleh dan mendengar dengan teliti sebelum menjawab. “Baiklah, aku faham. Kelab Misteri cuba mencari siapa sebenarnya si penjubah kedua itu. Beginilah, esok kita semua akan pergi melawat Atirah di kampung halamannya. Dalam masa yang sama, kita boleh belajar berlawan dan mungkin dapat lebih banyak bukti tentang siapa sebenarnya si penjubah itu.”
Aku mengangguk. Rancangan itu kedengaran bagus. Sebelum beredar, aku bertanya kepadanya tentang keadaan Kai.
“Bagaimana dengan Kai?”
Max tersenyum kecil sambil menepuk sebuah komputer riba yang baru saja siap diubah suai. “Komputer ini sudah siap. Bawa kepada Kai dan lihat, adakah dia suka dengan ciri-ciri baru yang aku tambahkan. Mungkin ini boleh buat dia keluar dari bilik dan mula bergabung dengan kita lagi.”
Aku mengambil komputer itu dengan penuh berhati-hati. Esok, aku akan serahkan ini kepada Kai. Aku berharap dia akan menerimanya dan kembali kepada kami. Misteri semakin mendalam, dan kami memerlukan semua orang bersatu untuk menghadapi segala yang bakal terjadi.
Malam itu, aku berdiri di hadapan pintu bilik Kai. Aku mengetuk perlahan, dan setelah beberapa detik, pintu dibuka. Aku melangkah masuk dan terkejut melihat keadaan bilik Kai yang sangat bersepah. Kertas bertaburan di lantai, peralatan elektronik berselerakan, dan bau bilik itu menandakan dia sudah lama tidak mengemas.
Kai muncul dari sudut bilik, rambutnya kusut dan wajahnya kelihatan lesu. Dia tampak seperti seseorang yang sudah beberapa hari tidak mandi.
“Ha’h, kau, Hazrul,” katanya dengan nada malas, sambil menggosok matanya.
Aku mengangkat komputer yang aku bawa dan menunjukkannya kepadanya. “Kai, ini komputer baru. Max sudah siapkan seperti yang aku janji. Jadi, kau harus kembali bekerja. Kami semua perlukan kau.”
Kai memandang komputer itu dengan pandangan kosong, kemudian menghela nafas berat. “Aiss, entahlah, Hazrul. Aku tak tahu... Patut ke aku keluar? Kalau aku keluar, penjubah itu mungkin datang lagi untuk aku.”
Sebelum aku sempat menjawab, suara Max kedengaran dari belakangku. Aku menoleh, dan Max melangkah masuk dengan penuh keyakinan.
“Kai, kau tak perlu risau,” kata Max tegas. “Kami ada untuk melindungi kau. Kalau si penjubah itu muncul, aku sendiri akan hadap dia. Apa pun yang terjadi, aku takkan biarkan kau hadapi ini sendirian.”
Kata-kata Max memberi semangat baru bukan hanya kepada Kai, tetapi juga kepadaku. Aku dapat melihat sedikit sinar keyakinan kembali pada wajah Kai.
Malam itu, aku meninggalkan bilik Kai dengan rasa lega. Aku tahu dia mungkin memerlukan masa, tetapi dengan Max dan kami semua di sisinya, aku yakin dia akan kembali kuat.
Aku pulang ke bilik sendiri, menarik selimut, dan berbaring. Untuk pertama kalinya dalam beberapa hari, aku dapat tidur dengan selesa, dengan harapan baru untuk hari esok.