Malam yang indah diterangi cahaya bulan. Di dalam hutan, suasana begitu sunyi, seolah-olah tiada kehidupan selain bunyi dedaunan yang bergesel ditiup angin. Namun, kami tahu, di hutan ini, terdapat haiwan buas dan lebih daripada itu, kini kami berada di dalam bahaya.
Max dan Sang Bertopeng sedang berhadapan dengan lawan yang sukar, iaitu seorang lelaki berjubah hitam, lebih dikenali sebagai Sharon.
"Cepat beritahu kami sekarang! Di mana Anis?" tegas Max, matanya memandang Sharon dengan penuh amarah.
"Anis berada di suatu tempat yang tidak jauh dari sini," jawab Sharon sambil tersenyum sinis.
Sharon kemudian mengalihkan pandangan kepada Sang Bertopeng. "Hey! Lama betul tak jumpa. Apa? Tiga tahun, kan?"
Sang Bertopeng menggenggam erat pedangnya. "Aku fikir kau sudah mati," katanya dengan nada dingin.
"Kenapa kau sayang sangat pada Anis? Apa dia istimewa bagi kamu?" Sharon memprovokasi sambil melangkah ke hadapan, menantang.
"Ya! Kerana kau, dia berada dalam bahaya!" Sang Bertopeng menyerang Sharon dengan pedang yang diayunkan dengan penuh kemarahan.
Pertarungan sengit pun bermula. Kekuatan mereka berdua setara—setiap serangan dan pertahanan seperti langkah dalam tarian maut. Sharon tersenyum kecil di tengah pertarungan.
"Kau semakin hebat berbanding dulu," ujar Sharon, seperti mengakui kemampuan lawannya.
"Diamlah!" balas Sang Bertopeng, suaranya penuh kemarahan.
Pertarungan itu membawa mereka ke dalam hutan, melompat dari satu dahan ke dahan lain seperti burung. Aku hanya mampu berdiri di tepi, menyaksikan mereka bertempur dengan begitu hebat.
"Hebatnya mereka!" bisik Jojo, yang berdiri di sebelahku sambil menahan kesakitan di bahunya.
"Jo, kau ok tak?" tanyaku risau.
"Aku ok," jawab Jojo dengan suara perlahan.
Di sudut lain, Max sedang sibuk merawat Justin, yang terbaring dengan luka lebih parah berbanding Jojo. Max kelihatan cemas, namun tangannya tetap cekap membersihkan dan membalut luka Justin.
Hutan malam itu menjadi saksi kepada pertempuran dahsyat dan pergolakan emosi yang menyesakkan dada kami semua.
Apabila Max selesai merawat Justin, dia menghunus pedangnya, bersedia menyerang Sharon. Namun, tanpa diduga, Sharon tiba-tiba melarikan diri. Langkahnya pantas, bayangnya menghilang di celahan pohon, tetapi Sang Bertopeng segera mengejarnya tanpa ragu.
Aku masih terpaku, cuba memahami situasi, apabila terdengar suara memanggil dari belakang.
"Weh! Kamu semua baik-baik, kan?"
Aku berpaling dan melihat Ros dan Roger berlari ke arah kami.
"Sampai juga kamu berdua," kata Max sambil menghela nafas, sedikit lega dengan kehadiran mereka.
"Kami sudah menemukan mereka. Jadi, di mana Anis sekarang?" tanya Roger dengan nada mendesak.
Di sisi lain, Jojo kelihatan terdiam sejenak, seperti sedang mendengar sesuatu.
"Anis? Nanti dulu... Dia berada di sekitar kawasan ini," suara Kai bergema di telinga Jojo melalui alat komunikasi.
Roger segera melihat koordinat yang diberikan oleh Kai.
"Alat komunikasi berfungsi semula?" tanya Jojo, terkejut dengan perkembangan itu.
"Hah! Kenapa? Apa yang berlaku?" tanya Ros, kebingungan dengan reaksi Jojo.
"Kami terputus hubungan tadi!" balas Jojo sambil memeriksa alat komunikasinya.
Roger melangkah ke arah Justin, membungkuk untuk mengangkat tubuhnya.
"Ya, ya. Kita kena hantar Justin ke bilik rawatan dengan segera," katanya sambil bersiap untuk membawa Justin pergi.
Max mengangguk. "Cepat! Jangan berlengah."
Ros segera mengatur strategi. "Kita berpecah. Roger, kau hantar Justin ke bilik rawatan, sementara kami akan cuba menyelamatkan Anis."
"Ya, baiklah," Roger bersetuju, memikul Justin dengan hati-hati sebelum berlari ke arah yang bertentangan.
Kami yang tinggal hanya mampu saling bertukar pandang sebelum bergegas mengikut jejak Sharon dan Sang Bertopeng, berharap menemukan Anis sebelum semuanya terlambat.
Kami akhirnya berpecah untuk mencari Anis. Dalam langkah yang tergesa-gesa, aku sempat melihat Roger yang mendukung Justin menjauh, sementara Ros sibuk melihat koordinat yang diberikan Kai. Kami yang lain berlari menuju ke kawasan yang ditunjukkan.
Namun, dalam perjalanan itu, sesuatu tiba-tiba menghadang jalan kami.
Kami semua terhenti secara serentak.
"Apa benda tu?!" Max bertanya, suaranya penuh kejutan.
Di sebalik kegelapan malam, terlihat sesosok makhluk menyeramkan yang mirip manusia tetapi jelas bukan manusia. Ia juga bukan haiwan biasa yang pernah aku lihat. Makhluk itu memiliki tubuh besar dan berotot, dengan jari-jarinya yang panjang dan tajam, seperti cakar. Matanya menyala merah, tajam menatap kami seolah-olah sedang mengawasi setiap pergerakan kami.
The story has been illicitly taken; should you find it on Amazon, report the infringement.
Max menghunus pedangnya, melangkah ke hadapan dengan berani.
"Siapa pun kau, apa pun kau. Jangan halang kami," katanya, nadanya tegas tetapi penuh waspada.
Max melancarkan serangan pertama, menghayunkan pedangnya ke arah makhluk itu. Namun, sebelum pedangnya sempat mengenai, dia berhenti sejenak, seolah-olah terkejut oleh sesuatu.
Makhluk itu melangkah keluar dari bayangan dengan perlahan, setiap langkahnya membuat tanah sedikit bergetar. Semakin dekat, semakin besar tubuhnya terlihat, seperti raksasa yang baru saja keluar dari mimpi buruk.
Aku dapat melihat keringat mengalir di dahi Max. Wajahnya tegang, tetapi dia tetap memegang pedangnya erat. Dia tahu makhluk ini bukan lawan yang mudah.
"Bagaimana aku nak kalahkan benda ni?" bisik Max kepada dirinya sendiri, matanya tidak pernah lepas dari makhluk itu.
Dengan langkah terakhirnya, makhluk itu berdiri hanya beberapa meter dari kami, mengeluarkan suara geraman rendah yang menggema di seluruh hutan.
Max menarik nafas panjang, bersedia untuk menyerang. Dia menggenggam pedangnya lebih erat, menggantungkan harapan sepenuhnya pada senjata itu untuk mengalahkan makhluk mengerikan di hadapan kami.
Makhluk itu berdiri megah di hadapan Max, sementara kami hanya mampu bersembunyi di sebalik pokok, terlalu gentar untuk membantu.
"Jo, cuba lah kau tolong Max tu!" kataku dengan nada mendesak, meskipun sebahagian dari diriku tahu dia mungkin tidak akan berani.
"Jangan nak bergurau! Aku tak sekuat Max. Biarkan dia berlawan sendiri," jawab Jojo, suaranya bergetar dengan ketakutan yang jelas.
Makhluk itu mengaum dengan garang, suaranya memenuhi hutan, menggetarkan udara di sekeliling kami. Namun, Max tetap berdiri teguh, tidak sedikit pun menunjukkan rasa takut. Dia mengangkat pedangnya, matanya tajam memandang makhluk itu, lalu meluru ke hadapan tanpa ragu.
Makhluk itu menyerang balas dengan cakarnya yang tajam. Pedang dan cakar saling bertembung, percikan api kecil terhasil di antara hentaman mereka. Dalam sekelip mata, Max berpusing, membelakangi makhluk itu, sebelum satu serangan terakhir yang pantas menghentikan segalanya.
Aku terkedu melihatnya. Makhluk itu terhenti, tubuhnya seolah-olah terbelah dua dari bahagian tengah, darah memercik ke mana-mana. Pedang Max yang bersih kini dipenuhi darah kotor makhluk itu, mengalir menitis ke tanah.
Max menghela nafas panjang, memandang tubuh makhluk itu yang terjatuh dengan bunyi dentuman berat sebelum menyimpan pedangnya kembali ke sarung.
Aku keluar dari sebalik pokok, memandangnya dengan penuh kekaguman.
"Itu… Memang hebatlah!" jeritku sambil melompat kecil, kagum dengan aksi tadi.
"Tolong ajar aku teknik itu!" pintaku dengan penuh semangat.
Max mengerutkan dahi, sedikit keliru. "Apa? Bukan ke aku dah ajar kau?"
"Tapi bukan semuanya," jawabku sambil merengek sedikit, cuba meyakinkan dia.
Sebelum Max sempat membalas, suara Kai tiba-tiba bergema melalui radio.
"Cepatlah! Jangan main-main lagi, kita kena cepat," katanya dengan nada mendesak.
Jojo segera bertanya melalui radio, "Kai, di mana Anis berada sekarang?"
"Berdekatan dengan kami semua!" balas Kai dengan suara yang jelas dan tegas.
"Apa?" tanyaku, terkejut.
Ros melihat radarnya dengan serius. "Kita dah hampir dekat dengan Anis. Cepat! Ikut arah ini!" katanya sambil menunjuk ke arah kanan.
Tanpa berlengah, kami semua segera berlari, meninggalkan perasaan takut tadi, hanya fokus untuk mencapai tujuan kami—menyelamatkan Anis sebelum terlambat.
"Jauh lagi ke?" tanyaku dengan nafas tercungap-cungap, hutan yang tebal ini seakan tiada penghujung.
Namun, Ros hanya diam, matanya terpaku pada radar tanpa mempedulikan soalan yang aku lontarkan. Kami terus berlari, meredah ranting dan dedaun.
Akhirnya, di celah-celah bayang hutan, kami menemui Anis. Namun, sesuatu tidak kena.
Anis berdiri di tengah-tengah ruang terbuka, tubuhnya kelihatan tegang. Mata bersinarnya, sama seperti yang aku pernah lihat sebelum ini, sekali lagi muncul. Dia seperti hilang kawalan, seolah-olah dirinya bukan lagi miliknya sendiri.
Di hadapan Anis, berdiri seorang lelaki yang dikenali sebagai si Joker. Mereka sedang bertarung.
Setiap kali Anis menyerang, Joker tertawa, suaranya nyaring dan menggema di seluruh hutan.
"Bagus... Haha... Bagus sekali, Anis!" Joker bersorak sambil melompat ke atas dahan pokok, memperlihatkan kelincahannya yang luar biasa.
Dia berdiri di atas dahan dengan santai, memandang Anis seperti sedang mengagumi karya seni.
"Kau lebih kuat daripada yang aku sangkakan," katanya, senyuman melebar, penuh ejekan.
"Hentikan semua ini, Joker!" Max bersuara tegas, nadanya dipenuhi kemarahan.
Joker menoleh ke arah Max, matanya bercahaya dengan minat baru.
"Wahhh, Pahlawan Pedang muncul! Ini semakin seronok!" Dia mula membuat tarian aneh di atas dahan, gerakannya seperti boneka yang dikendalikan tali.
Ros melangkah ke hadapan, matanya tajam memerhati Joker. "Joker! Kenapa kau lakukan semua ini?" tanyanya, nada suaranya mencampur antara kesal dan ingin tahu.
Joker berhenti menari, pandangannya beralih kepada Ros. Dia tersenyum, tunduk hormat dengan gaya yang penuh sindiran.
"Wahhh!! Ros... Kakitangan SCI dan SRM. Saya benar-benar gembira melihat awak hadir ke sini," katanya dengan nada mencela.
Ros mengepal penumbuknya, tapi sebelum dia sempat bertindak, Joker memetik jarinya dengan gaya dramatik.
"Baiklah! Majlis ini semakin seronok. Jadi... Mari kita mulakan tarian sebenar."
Klipp!
Dengan satu petikan jarinya, suasana berubah. Angin bertiup kencang, dan sekeliling kami mula dipenuhi cahaya berwarna-warni yang muncul dari tempat yang tidak diketahui. Suara Joker kembali bergema:
"Selamat datang ke pentas terakhir, kawan-kawan!"
Tanah di bawah kami tiba-tiba bergetar, dan dari bayang hutan, muncul lebih banyak makhluk seperti yang Max hadapi tadi. Anis pula, semakin kelihatan kehilangan dirinya, tangannya bergetar hebat.
"Anis! Jangan biarkan dia kawal kau!" jerit Ros, cuba menarik perhatian Anis, tetapi Anis tidak memberi sebarang reaksi.
Joker ketawa lagi, bunyinya seperti mimpi buruk yang hidup.
"Semua ini baru permulaan. Tunjukkan aku apa yang kalian mampu!"
Kami semua bersiap sedia, mengetahui bahawa pertempuran ini akan menjadi lebih sukar daripada sebelumnya.
Aku dapat rasakan yang kami sedang diperhatikan oleh beberapa orang. Dari dalam hutan, bunyi seperti sesuatu bergerak secara mekanikal kedengaran. Bunyi itu mengingatkan aku pada robot. Aku terus melihat ke arah hutan dengan cemas. Secara tiba-tiba, beberapa buah robot muncul dari celah-celah pokok dan menyerang kami.
Max dengan cekap menepis setiap serangan robot-robot itu, menunjukkan kepantasan yang sukar dipercayai. Ros pula tidak henti-henti melepaskan tembakan dengan pistol lasernya. Jojo, dengan gaya tersendiri, mengangkat sebatang kayu besar dan memukul robot-robot itu dengan sepenuh tenaga.
Aku, yang masih mentah dalam seni bertarung, hanya mampu menggenggam kayu yang menyerupai pedang. Dengan debaran, aku melangkah ke hadapan untuk mencuba nasib. Namun, kayu itu patah dalam satu hentakan sahaja.
Panik mulai menyelubungi aku. Aku cuba mencari kayu lain, tetapi keadaan tidak berpihak. Robot-robot itu mula mengejar aku, dan tanpa hala tuju, aku berlari sekuat hati.
"Awak boleh lari? Tapi takkan boleh sembunyi!" suara Joker, penuh sindiran, kedengaran sambil dia menghalang Max dari membantu aku.
Ros dan Jojo jelas keletihan. Nafas mereka tidak teratur, dan serangan mereka mula kehilangan ketepatan. Aku terus berlari, lintang-pukang, hingga tersadung dan jatuh ke tanah. Di hadapan aku, hanya dinding batu yang besar berdiri teguh.
"Jalan mati!" hatiku menjerit.
Aku menoleh ke belakang dan melihat robot-robot itu semakin dekat. Kaki aku terasa berat, seperti dicengkam ketakutan. Aku cuba mencapai sebatang kayu yang tergeletak berdekatan, tetapi gerakan aku terlalu perlahan.
"Alamat habislah aku," fikirku sambil jantungku berdegup kencang.
Salah satu robot menangkap baju aku, menarik aku ke hadapan dengan kasar. Tangannya yang besar diangkat ke belakang, bersedia untuk menghentam muka aku.
Aku menutup mata, pasrah dengan nasib. "Mungkin ini penamatku," bisik hati kecilku.